Friday, June 11, 2010

wanita tidak faham undang-undang?

DALAM kitab suci al-Quran telah tercatat bahawa Islam adalah agama pembela wanita. Hak wanita dalam Islam jelas tercatat dalam surah Al-Baqarah (ayat 228) iaitu: "Wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf."

Terdapat juga hadis-hadis yang jelas membela dan mempertahankan wanita. Antaranya daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadanya, kata Aisyah: Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya. (Riwayat al-Bukhari 5/2234 dan Muslim 4/2027).

Walaupun sudah terbukti bahawa hak-hak wanita sememangnya terpelihara, tetapi sering kedengaran aduan atau rasa tidak puas hati wanita terhadap urusan di mahkamah syariah atau pejabat agama.

Masih ada cerita-cerita mengenai wanita Islam yang teraniaya seperti digantung tidak bertali dan ditinggalkan bersama anak-anak tanpa sebarang nafkah.

Ada pula kisah wanita yang menderita atau tidak lagi sanggup tinggal bersama suaminya tetapi tidak berbuat apa dan hanya menyerahkan hidup kepada takdir.

Kenapa perkara begini berlaku sedangkan hak wanita dalam Islam cukup jelas malah tercatat dalam al- Quran?

Adakah kerana wanita Islam di negara ini tidak memahami selok-belok mengenai undang-undang keluarga Islam atau pun mereka kurang pendedahan mengenai hak-hak mereka?

Timbalan Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, dalam hal ini wanita itu sendiri harus diberikan pendidikan serta pendedahan berkaitan undang-undang keluarga Islam.

Kaum wanita katanya, akan berhadapan dengan masalah mendapatkan keadilan di mahkamah syariah jika mereka sendiri kurang arif mengenai isu-isu seperti nafkah idah, mutaah, harta sepencarian, hutang dan sebagainya.

''Disebabkan masalah-masalah inilah wanita yang kurang pendedahan serta pendidikan dalam hal undang-undang keluarga Islam selalunya akan merasakan diri mereka ditindas.

''Satu transformasi perlu berlaku di samping mengambil tindakan yang pantas dalam usaha menyelesaikan satu-satu masalah.

''Bukan itu sahaja, wanita yang bermasalah juga sebenarnya perlu bekerjasama selain mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan antara mereka dengan hakim dan peguam,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas bertajuk Mengenalpasti Permasalahan Berkaitan dengan Tuntutan dan Pelaksanaan Perintah Hak-Hak Isteri Selepas Pembubaran Perkahwinan, pada Bengkel Pemerkasaan Hak-Hak Wanita di Bawah Undang-Undang Keluarga Islam anjuran Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Zaleha, untuk mengenal pasti secara menyeluruh tentang permasalahan wanita dalam memperjuangkan hak-hak mereka di mahkamah, ia perlu dilihat dari dua perspektif iaitu persepsi wanita itu sendiri terhadap mahkamah dan perspektif hakim

Wanita yang menuntut keadilan selalunya mempunyai persepsi bahawa mahkamah berat sebelah dengan lebih berpihak kepada lelaki.

Hal ini menyebabkan mereka sentiasa mempersoalkan kredibiliti mahkamah dan mempertikaikan kewibawaan hakim serta kekurangan infrastruktur.

"Dari situ timbul rasa tidak puas hati seperti lambat dan sukar berurusan dengan mahkamah syariah dan sebagainya.

"Ini ditambah lagi dengan tekanan masalah undang-undang yang dihadapinya lebih-lebih lagi jika ia sudah berlarutan agak lama," katanya.

Dalam pada itu menurut Zaleha, wanita juga kadang kala membina persepsi tersendiri terhadap peguam yang dianggap tidak komited, lebih mementingkan bayaran, kesukaran berurusan dengan peguam terutama yang tinggal di luar bandar dan sebagainya.

Semua faktor itu menjadi kekangan kepada wanita sehingga membuatkan mereka cenderung menyatakan bahawa mereka tidak mendapat keadilan sewajarnya. Seterusnya mereka hanya memendamkan masalah.

"Itu belum lagi ketika peringkat prabicara di mana wujud masalah-masalah lain yang menyebabkan kes tertangguh dan berlarutan hingga bertahun-tahun," katanya.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Madya Dr. Najibah Mohd. Zin, berkata, antara isu-isu membabitkan mahkamah syariah yang sering dihadapi oleh golongan wanita ialah pendaftaran perkahwinan dan perceraian, poligami tanpa kebenaran mahkamah, nafkah dan nusyuz, perceraian luar mahkamah, tebus talak atau khuluk dan hak penjagaan anak

Menurut beliau, kebanyakan kes-kes yang berlaku memberi banyak masalah kepada wanita terutama dari golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

''Bagi setiap kes, kita mempunyai akta dan undang-undang yang telah sedia ada.

''Namun apa yang mampu dilihat hari ini ialah kelemahan undang-undang yang seakan tidak memberi kesan yang berkesan dalam menangani masalah-masalah yang ada.

''Yang menjadi persoalan adakah masalah ini berpunca daripada kelemahan undang-undang atau sikap anggota masyarakat itu sendiri,'' ujar beliau lagi.

Bagaimanapun jelas beliau lagi, keberkesanan sesuatu undang-undang banyak bergantung kepada kebijaksanaan dalam mengaplikasikan undang-undang tersebut dengan baik.

Pada masa yang sama undang-undang perlu disemak dan dipinda dari semasa ke semasa mengambil kira perubahan masa dan keadaan untuk keadilan pihak-pihak yang menuntut hak mereka.

-utusan-